Perlawanan akhir Piala FA yang menemukan 2 jaguh dari Pantai Timur pada 11 Jun 2011 telah berakhir. Saya bukanlah peminat tegar bola sepak tapi sekadar minat dan penyokong The Red Warriors, pasukan negeri saya. Setinggi-tinggi tahniah kepada skuad Penyu di atas kejayaan merangkul piala berprestij ini dan dapat berkongsi kejayaan kerana kini berada di wilayah ini. Tahniah juga kepada skuad The Red Warriors kerana menunjukkan permainan yang bermutu. Kepada jurulatih Terengganu sdr Irfan Bakti orang Kelantan, begitu komited kepada pasukannya dan cukup bijak mengatur strateji.
Kepada skuad The Red Warriors biarlah kekalahan ini berlalu, pulih dan tingkatkan semangat kalian dan tumpukanlah kepada perlawanan2 Liga Super yang masih tinggal dua perlawanan lagi. Kemenangan seterusnya akan membawa kejayaan yang lebih berprestij lagi selaku juara Liga Super. Kelantan telah memenangi 2 trofi iaitu Piala Raja-Raja dan Piala Sumbangsih, biarlah Piala FA terlepas kepada jiran kita. Kita selaku penyandang Piala Malaysia 2010 dan bakal Juara Liga Super. Merangkul kejayaan-kejayaan yang berprestij satu musim adalah kejayaan yang amat cemerlang. Piala Malaysia 2011 sedia bermestautin di Kelantan setahun lagi. InsyaAllah.
Imbas kepada perlawanan tersebut membuktikan Terengganu tidak luntur semangat meskipun tewas kepada Kelantan dalam perlawanan liga di halaman sendiri 3-0 dan diambang kekalahan pada akhir Piala FA, tapi dengan semangat kental tanpa hiraukan kekecewaan bangkit penuh semangat dan akhirnya beroleh kejayaan. Semangat beginilah yang patut dicontohi oleh semua bukan sahaja di bidang sukan malah dalam semua hal.
Kehadiran Pemimpin tertinggi negara DYMM Yang DiPertuan Agong Tuanku Sultan Mizan seolah2 pembakar semangat juang kepada skuad Terengganu. Kehadiran DYMM Sultan Muhammad V juga sebagai pencetus semangat kepada skuad The Red Warriors. Kedua-dua baginda mewarnai perlawanan akhir ini. Demikian juga dengan kehadiran YAB Tuan Guru Menteri Besar Kelantan dan YAB Menteri Besar Terengganu melupakan sekejap fahaman politik masing-masing, sama-sama memberi sokongan kepada pasukan mereka dengan cara masing-masing.
Perlawanan dramatik seumpama ini berlaku juga di peringkat antarabangsa. Sebagai contoh dalam EURO 2004 England mendahului Perancis 1-0, dan mendapat penalti pada pertengahan separuh masa kedua tapi gagal disempurnakan oleh David Beckham. Perancis diambang kekalahan manakala England bersiap meraikan kemenangan sehinggalah di minit ke 90 apabila Zinedine Zidane melencongkan bola ke dalam gol England hasil dari tendangan percuma menjadikan kedudukan 1-1. Akhirnya Perancis menang 2-1 bila Perancis mendapat penalti pada masa kecederaan di minit ke 93. Zinedine Zidane tidak sia-siakan peluang ini.
Daudsu yang secara tidak sengaja tertanduk bola ke dalam gol sendiri mengubah situasi ni. Daudsu pemain yang konsisten, tenang dan hebat cuma nasib tidak menyebelahinya. Campaklah jauh-jauh kekecewaan ini dan tumpukan pula pada perlawanan Liga Super. Jaringan gol sendiri adalah kes terpencil dalam usaha menyelamatkan keadaan tapi besar impaknya. Dalam Piala Dunia 1994 Andres Escobar pemain Colombia tersilap jaring gol sendiri yang impaknya, Colombia tersingkir dari pusingan seterusnya dan pemain itu sendiri ditembak mati oleh sindiket judi. Trajidi ini tidak akan berlaku di negara kita kerana peminat2 bola masih beriman! Tidak kedengaran sebarang perkataan yang mengutuk Daudsu apatah lagi melakukan perkara yang mengancam nyawa kerana nyawa seseorang jauh itu lebih berharga dari segala-segalanya. Wallahualam.
Sekian, terima kasih.