Friday, August 12, 2011

RAMADHAN BUKAN SEKADAR BULAN IBADAT




Segala puji bagi Allah SWT yang mencipta dan mentadbir semesta alam, salam dan selawat ke atas junjungan kita Nabi Muhammad SAW, keluarga, semua sahabat dan sekalian tabiin wa tabiin. Berbanyak-banyak syukur ke hadhrat Illahi kerana dikurniakan rahmat, aqal yang waras dan badan yang sihat serta dapat menjalani ibadat puasa yang telahpun masuk ke fasal kedua(10 hari pertengahan) fasal MAGHFIRAH. Banyakkanlah memohon keampunan dariNYA.

"Syaaban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku. Syaaban ialah mengkifaratkan dosa dan Ramadhan menyucikan dosa(jasmani dan rohani)" . Maksud al Hadith.

RAMADHAN berkait amat rapat dengan ibadat puasa. Puasa di bulan Ramadhan telah difardhukan keatas umat Islam dalam bulan Syaaban di tahun kedua Hijrah. Puasa ditakrifkan menahan diri. Pada syara' maksudnya menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa mulai terbit matahari(fajar) hingga tenggelam matahari dengan disertakan dengan niat.

RAMADHAN dipanggil al Mubarak(Ramadhan al Mubarak - penuh keberkatan), al Kareem(Ramadhan Kareem - penuh kemuliaan). Dikenali juga sebagai Sayyidul Shuhur(penghulu segala bulan), bulan solat, bulan kesabaran, bulan sedeqah, bulan pengampunan dan sebagainya.

Ibadat-ibadat ini hanya terdapat di dalam bulan Ramadhan: Puasa wajib(kecuali puasa ganti dan puasa nazar), solat terawih, zakat fitrah, bersahur, Lailatul Qadr, syaitan/iblis dirantai dan Nuzul al Qur'an.

Ibadat-ibadat lain yang boleh dilakukan di bulan-bulan lain tetapi banyak diingati dan dilakukan di bulan ini: Iktiqaf, solat withir, tadarrus al Qur'an, qiamullail, sedeqah, bayar zakat dan solat berjemaah.

Kelebihan bulan Ramadhan berbanding dengan bulan-bulan lain ialah amalan-amalan sunat pahalanya sama dengan ibadat wajib, amalan-amalan wajib digandakan pahala sebanyak 70 kali . Satu malam daripadanya diturunkan "Lailatul Qadr" atau malam kemuliaan iaitu satu dari malamnya lebih mulia dari 1000 bulan atau 83 tahun 4 bulan, ertinya amalan pada malam itu sama dengan amalan 1000 di bulan yang lain.

Selain dari pusat ibadat dan kebersihan rohani umat Islam, peristiwa-peristiwa besar yang bersejarah berlaku pada bulan ini:

1. Bulan diturunkan kitab-kitab Allah yang dijadikan petunjuk kepada semua umat manusia, mengandungi keterangan-keterangan yang benar mengenainya, sebagai pembeza antara yang benar dengan yang bathil. Kitab-kitab yang diturunkan ialah Zabur, Taurat, Injil dan suhuf-suhuf. Al Qur'an diturunkan pada 17 Ramadhan dan dikenali sebagai Nuzulul Qur,an.

2. Peristiwa Badar, berlaku pada hari Jumaat, 17 Ramadhan tahun 2 Hijrah.
Seramai 313 orang Islam pimpinan Nabi Muhammad SAW bertempur dengan tentera musyrikin Mekah yang seramai 1000 orang yang lengkap bersenjata dipimpin oleh Abu Jahal dan Abu Lahab. Dengan izin Allah orang Islam menang, seramai 70 tentera musyrikin terbunuh dan 70 orang juga telah ditawan, manakala seramai 14 mukminin gugur syahid.

Doa Rasulallah semasa perang ini. "Ya Allah, jika Engkau binasakan pasukan ini(Islam) Engkau tidak akan disembah lagi di muka bumi ini. Ya Allah penuhi janjimu kepadaku. Ya Allah berilah pertolonganmu".

3. Pembukaan Kota Mekah, berlaku pada 21 Ramadhan tahun 8 Hijrah.
Mula berlaku apabila puak musyrikin Mekah melanggar perjanjian Hudaibiyah yang antaranya kedua-dua pehak tidak dibenarkan terlibat dengan sebarang peperangan. Bani Bakar bersekutu dengan musyrikin Mekah menyerang Bani Khuzaah yang memihak dengan Rasulallah. Penaklokan Kota Mekah berlaku tanpa pertumpahan darah.

4. Pengislaman penduduk Yaman, berlaku pada Ramadhan 10 Hijrah.
Nabi Muhammad SAW mengutuskan Ali bin Abi Talib dan berjaya mengislamkan semua penduduk Yaman iaitu suku Hamdan dalam masa satu hari sahaja.

5. Berhala al 'Uzza diruntuhkan, berlaku pada 25 Ramadhan tahun 9 Hijrah.
Patung dewi ini dijadikan tempat bersumpah orang-orang musyrikin di Nakhla dan diruntuhkan oleh Khalid al Walid. Semenjak itu penyembahan berhala tidak berlaku lagi.

6. Penyerahan Bandar Taif, berlaku pada tahun 9 Hijrah.
Penduduk Taif menyerah kalah setelah dikepung buat beberapa lama oleh tentera Islam dan patung al Latta yang menjadi sembahan dan kebanggaan penduduk Taif dimusnahkan.

7. Penaklokan Andalusia, berlaku pada 28 Ramadhan tahun 92 Hijrah.
Ditaaloki oleh tentera Islam di bawah pimpinan Tariq bin Ziad setelah menyeberangi selat Gibraltar. Tariq membakar semua kapal dan menyeru tentera Islam supaya menyerang tentera musuh.

8. Peperangan Zallaqah, Portugal, Ramadhan 459 Hijrah.
Tentera Islam Dinasti Murabit menewaskan askar Portugal yang dipimpin oleh Alfonso VI yang seramai 80,000 orang. Kemenangan ini memulakan kebangkitan Dinasti Murabit

9. Peperangan 'Ain Jalut, berlaku pada 15 Ramadhan 458 Hijrah.
Menyaksikan kekalahan tentera Mongol buat pertama kalinya. Kerajaan Islam Abbasiah di Baghdad telah ditewaskan oleh tentera Mongol pimpinan Hulagu dan berlakulah pembunuhan beramai-ramai, kitab-kitab dan masjid dimusnahkan. Seramai hampir sejuta muslimin telah dibunuh, sungai Furat dan Tigris hitam kerana dakwat dari kitab-kitab yang telah dimusnahkan. Tentera Islam di bawah pimpinan Al Malik Al Muzhafar Saifudin Qutuz pemerintah Dinasti Mameluk di Mesir, bergabung dengan ulama' pimpinan Ruknuddin Baybars menyerang balas berjaya menewaskan dan menghalang kemaraan tentera Mongol di Asia Barat.

10. Peperangan Yakhliz, berlaku pada 15 Ramadhan 1294 Hijrah.
Angkatan tentera Islam Dinasti Uthmaniah seramai 34,000 orang mengalahkan tentera Russia seramai 740,000 orang. Kemenangan ini menghentikan ancaman pemerintah Czar Russia dari terus mengancam orang Islam.

11. Peperangan Yom Kippur, berlaku pada 10 Ramadhan 1390 Hijrah bersamaan 22 Oktober 1973.
Peperangan ini juga dipanggil Perang Arab-Israel. Gabungan tentera Mesir, Syria dan penduduk tempatan Suez yang dipimpin oleh seorang Sarjana Islam bernama Syeikh Hafiz Salamah mengasak tentera Israel yang akhirnya dapat menawan balik Semenanjung Sinai di Mesir dan Bukit Golan di Syria. Keadaan ini memaksa satu perjanjian dibuat antara Negara-negara Arab dan Israel bagi menamatkan peperangan dan mengelakkan kekalahan yang memalukan Israel dan kuasa-kuasa besar yang menjadi sekutu Israel.
Dalam peperangan 6 hari pada tahun 1967, Israel mendudukki Semenanjung Sinai hingga ke terusan Suez dan Bukit Golan di Syria. Israel telah membina kubu pertahanan yang kuat di Semenanjung Sinai dipanggil Garisan Bar Lev. Peristiwa ini juga dipanggil Penawanan Garisan Bar Lev.


AMALAN-AMALAN YANG BERTENTANGAN

"Betapa ramai umatku berpuasa, tidak mendapat apa-apa dari puasa mereka kecuali lapar dan dahaga". Maksud al Hadith

Sepanjang pemerhatian saya, melalui pembacaan akhbar, internet dan perbincangan dan interaksi sosial terdapat beberapa amalan yang bertentangan dengan roh Ramadhan, malangnya mendapat tempat di media massa dan di kalangan segelintir umat Islam. Perbuatan-perbuatan seperti ini tidak sepatutnya terjadi, patut dicegah dari merebak dari menjadi satu penyakit berjangkit yang semakin lama semakin parah dan sukar diubati. Antaranya adalah seperti berikut:

1. Di awal Ramadhan masjid dan surau penuh dengan jemaah dan diakhir Ramadhan jemaah semakin berkurangan. Sepatutnya di akhir Ramadhan masjid dan surau semakin ramai. Nabi Muhammad SAW perbanyakkan amalan di akhir Ramadhan. Keadaan ini berlaku kerana sibuk dengan persediaan untuk Hari Raya seperti buat kuih muih, membakar lemang, mengacau dodol, membuat tapai, ketupat, menghias rumah dan sebagainya.

2. Menyambut malam tujuh likur(27 Ramadhan) secara berlebih-lebihan dengan pelbagai amalan yang kononnya dapat menarik malaikat seperti memasang pelita dan lampu. Rumah-rumah dihias, luar rumah dipasang pelita dan menyalakan api. Tingkap-tingkap rumah dan mulut tempayan
dibuka untuk menarik Lailatul Qadar ke rumah yang disangka pada malam tersebut. Tidak terdapat sebarang nas mengenai malam tujuh likur. Lailatul Qadr bukan ditetapkan pada malam tersebut. Mengikut Imam As Shafie Lailatul Qadr akan turun pada salah satu dari malam- malam yang ganjil di akhir sepuluh Ramadhan. Amalan yang sia-sia ini merosakkan roh Ramadhan, sepatutnya bersolat terawih, perbanyakkan solat, bacaan al Qur'an dan berzikir.

3. Bermain mercun, bunga api dan meriam buatan sendiri seperti meriam buluh dan karbait. Bermulanya Ramadhan mulalah kedengaran letupan mercun dan ada yang cedera terutama kanak-kanak sampai kecederaan kekal. Yang paling malang bahan tersebut dibeli oleh bapa dan orang dewasa untuk anak-anak dan mereka turut sama bermain. Penjualan semua jenis mercun dan bunga api perlu diharamkan.

4. Mempromosi pelbagai jenis makanan dan juadah untuk berbuka puasa, seolah-oleh bulan ini sebagai "bulan makan". Di hotel-hotel dan restoran menawarkan pelbagai pakej dengan tawaran harga yang menarik dengan pengambilan makanan tanpa had, menyebabkan makan melebihi had, pembaziran dan terlewat solat maghrib kerana kekenyangan. Amalan ini bertentangan dengan konsep Ramadhan bagi mengelak pembaziran dan berbuka secara sederhana. Pasar-pasar Ramadhan tumbuh dengan banyaknya dengan terlalu banyak juadah, makanan dan lauk pauk. Awas bila membeli di pasar Ramadhan jangan terbeli makanan yang basi, diulang masakan untuk jualannya dan mungkin tercemar.

5. Segelintir umat Islam yang berpuasa tapi tidak melakukan solat fardhu dan tidak menutup aurat sebagaimana dituntut oleh syara'. Yang tidak menutup aurat dengan sempurna dapat jelas dilihat ketika membeli juadah berbuka di pasar-pasar Ramadhan.

6. Berbuka puasa dengan selebriti, artis-artis dan personaliti hiburan dengan majlis diserikan dengan nyanyian. Ada yang mengambil kesempatan mempromosikan produk-produk hiburan yang tidak ada sangkutan dengan amalan di bulan Ramadhan, malah melemahkan lagi dengan melengah-lengahkan solat maghrib. Promosi ini lebih kepada sifat kapitalis.

7. Promosi Hari Raya melebihi promosi amalan di bulan Ramadhan. Amat jelas di kompleks beli belah, akhbar dan television. Lagu-lagu Raya membingitkan telinga, tawaran potongan harga "istimewa" menghiasi setiap ruang akhbar dan gedung-gedung seolah-seolah inginkan Ramadhan berlalu dengan segera. Juga ada unsur-unsur kapitalis.

8. Membuang masa dengan sia-sia seperti bermain dam aji, terup dan berjudi, paling menyedihkan secara terbuka.

Wallahu 'alan.








No comments:

Post a Comment